KUCHING: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) akan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) dan garis panduan untuk dipatuhi semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Gawai Dayak tahun ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata SOP berkenaan akan diperkenalkan dengan mengambil kira situasi jangkitan COVID-19 di negeri ini.
Beliau berkata cabaran paling besar dihadapi JPBNS ketika ini ialah mengekalkan zon hijau di Sarawak yang ketika ini sebanyak 70 peratus manakala selebihnya zon merah dan zon kuning.
Memetik penerangan dari Utusan Borneo, SOP tersebut tidak hanya dikuatkuasakan di rumah panjang atau kampung di kawasan luar bandar tetapi di setiap bandar di Sarawak.
Uggah yang juga Pengerusi JPBNS berkata buat masa ini, kerajaan negeri memutuskan Bazar Ramadan dan Bazar Gawai tidak dibenarkan.
Menurutnya JPBNS bersifat dinamik dengan itu sebarang keputusan dibuat akan mengambil kira kemajuan atau perkembangan, situasi dan keadaan semasa.
Beliau berkata demikian pada sidang media harian mengenai perkembangan COVID-19 di Sarawak di sini, hari ini.
0 Comments