Sarawak Dua Kes Baharu Positif, Sembilan Kes Sembuh COVID19



KUCHING: Sarawak hari ini merekodkan dua (2) kes baharu positif COVID-19 dan sebanyak sembilan (9) kes dilaporkan sembuh dan discaj dari hospital.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas, dua kes tersebut adalah di Daerah Kuching dan Samarahan dan tiada kes dilaporkan di 38 daerah yang lain.


Sementara itu, daripada 9 kes yang sembuh, lapan (8) kes adalah dari Hospital Umum Sarawak dan satu (1) kes adalah dari Hospital Miri.

Sebanyak 59% kes positif COVID-19 telah sembuh dan pulang ke rumah masing-masing.

Manakala bagi bilangan Person Under Investigation (PUI) pula adalah sebanyak 77 kes. Jumlah PUI yang masih menunggu keputusan makmal adalah sebanyak 122 kes.

Bagi perkembangan lain, Operasi Active Case Detection (ACD) di Desa Ilmu dan Unigarden, Samarahan telah berakhir pada 3 Mei 2020.

Daripada operasi tersebut, seramai 15,583 orang telah disaring dan 885 orang telah hadir untuk pengambilan sampel.

“Aktiviti pengesan secara aktif (ACD) di Desa Ilmu dan Unigarden, Samarahan telah berakhir pada 3 Mei 2020. Seramai 15,583 orang telah disaring dan 885 orang telah hadir untuk pengambilan sampel. Hanya seorang yang diberi temujanji belum hadir untuk pengambilan sampel dan pihak Pejabat Kesihatan Bahagian Samarahan sedang membuat pengesanan individu tersebut. Hasil aktiviti pengesanan tersebut, 3 kes positif telah dapat dikesan dan mereka telah dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan,” katanya dalam satu sidang media COVID-19, Selasa.



Sumber : TVSarawak

Post a Comment

0 Comments