Kerajaan Malaysia Perkenal Aplikasi ‘MySejahtera’




BAGI membendung penularan pandemik COVID-19, Kerajaan Malaysia telah memperkenalkan satu aplikasi yang dikenali sebagai ‘MySejahtera’ bagi membantu rakyat memantau kesihatan kendiri dan keadaan semasa COVID-19 di Malaysia.
 
Kata Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, aplikasi ini juga berfungsi untuk mendapatkan maklumat kawasan COVID-19 dalam lingkungan satu kilometer dari lokasi pengguna atau alamat carian.
 
“MySejahtera merupakan aplikasi telefon bimbit yang telah dibangunkan oleh Kerajaan Malaysia dengan kerjasama pelbagai agensi. Aplikasi ini membantu dalam pengawasan penularan wabak COVID-19 di dalam negara dengan memperkasakan rakyat atau pengguna untuk prihatin kepada kesihatan kendiri dan keadaan semasa COVID-19 di Malaysia.
 
MySejahtera membolehkan pengguna melaksanakan penilaian kesihatan kendiri (self-assessment) di samping membantu KKM mendapatkan maklumat awal tahap kesihatan individu untuk mengambil tindakan yang cepat dan berkesan.
 
“Antara Fungsi MySejahtera adalah, pengesan Hotspot ataupun “Hotspot tracker” iaitu pengguna boleh mendapatkan maklumat kawasan hotspot kes COVID-19 dalam lingkungan satu (1) kilometer dari lokasi pengguna atau alamat carian dan memberi maklumat berkaitan fasiliti saringan COVID-19 yang terdekat dan bantuan nasihat secara atas talian,” katanya pada sidang media harian perkembangan COVID-19, Isnin.
 
Tambah Dr Noor Hisham, aplikasi ini juga membolehkan pengguna menilai tahap kesihatan ahli keluarga atau individu lain yang didaftarkan.
 “Selain untuk diri sendiri, pengguna juga boleh mendaftarkan maklumat berhubung ahli keluarga yang tidak mempunyai telefon pintar, di mana MySejahtera akan turut membantu menilai tahap kesihatan ahli keluarga atau individu lain yang didaftarkan.
 
“Pengguna yang telah memuat turun aplikasi ini perlu mengemaskini kepada versi terbaharu bagi mendapat manfaat penuh MySejahtera. Aplikasi ini akan ditambah baik dengan ciri-ciri terkini dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
 
“KKM menyeru semua rakyat Malaysia dan juga bukan warganegara Malaysia yang berada di negara ini untuk memuat turun aplikasi MySejahtera, serta melakukan penilaian kendiri untuk mengetahui risiko terhadap jangkitan COVID- 19 melalui aplikasi ini,”

Post a Comment

0 Comments